MANCHESTER – Liverpool perlu mengelak daripada terlalu memikirkan tentang mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan fokus utama ketika ini wajar diberikan kepada mendapatkan keputusan lebih baik.
Pandangan itu disuarakan pengurus Liverpool, Arne Slot selepas mengalami kekalahan 0-3 kepada Manchester City di Stadium Etihad awal pagi tadi dan menganggap masih terlalu awal untuk membincangkan tentang peluang bergelar juara buat kali kedua berturut-turut.
Kekalahan itu menyerlahkan penurunan standard The Reds musim ini selepas mengalami lima kekalahan EPL, jumlah yang lebih banyak berbanding pada saingan musim lalu.
“Terlalu banyak kekalahan dan perebutan kejuaraan perlu menjadi perkara terakhir yang perlu saya fikirkan. Kami perlu berikan fokus untuk mendapatkan keputusan terlebih dulu sebelum memikirkan tentang kejuaraan.
“Saya sudah katakan banyak kali musim lalu, walaupun kami sedang mendahului, cara terbaik untuk menilai kedudukan adalah selepas 38 perlawanan. Jadi sekarang kami hanya ada satu cara iaitu perbaiki persembahan pasukan,” katanya.
Segalanya seakan berpihak kepada Liverpool apabila penjaga gol, Giorgi Mamardashvili cemerlang menafikan sepakan penalti Erling Haaland, namun bintang dari Norway itu bangkit menyumbangkan satu gol diikuti dua lagi daripada Jeremy Doku dan Nico Gonzalez. – AGENSI














