JAKARTA – Seorang ketua kampung di daerah Batang, wilayah Jawa Tengah mengundang kecaman ramai apabila menjual ambulans kegunaan penduduk untuk melangsaikan hutang peribadi, lapor laman berita Warta kelmarin.
Tindakan ketua kampung dikenali sebagai Syahroni itu telah menyebabkan penduduk Kampung Menguneng tidak dapat menggunakan kemudahan tersebut ketika kecemasan.
Menurut laporan, tindakan itu mula diketahui apabila penduduk mendapati ambulans tiada di dalam garaj.
Selepas siasatan dilakukan, mereka mendapati ambulans itu telah dijual oleh Syahroni untuk melangsaikan hutangnya.
Keadaan itu mencetuskan kemarahan penduduk sebelum mereka melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.
Jika terbukti bersalah, Syahroni berdepan hukuman pentadbiran dan pertuduhan jenayah kerana didakwa menyalahgunakan kuasa awam dan aset untuk kepentingan peribadi. – AGENSI














