KUALA LUMPUR – Malaysia kekal komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan di seluruh negara meskipun terus mengembangkan aktiviti ekonomi berasaskan industri kayu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata komitmen itu selaras dengan janji Malaysia kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memastikan pembangunan ekonomi negara tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar.
“Kita sentiasa menekankan betapa pentingnya kita seimbangkan antara aktiviti ekonomi dengan alam sekitar. Kayu adalah merupakan salah satu produk yang kita perolehi dari hutan. Sebab itu Malaysia komited untuk jaga hutan kita. Kita akan mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan hutan kekal. Itu komitmen kita pada PBB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Ekpo Kayu Malaysia (MWE) 2025, di sini hari ini.
Dalam masa yang sama, Johari berkata beliau mengalakkan industri berasaskan kayu seperti perabot kerana sebahagian kawasan hutan di Malaysia diuruskan di bawah ‘sustainable forest management’ (pengurusan hutan lestari).
Sementara itu Johari berkata, sepanjang tahun 2024, Malaysia berjaya merekodkan nilai eksport produk kayu hampir RM22.9 bilion, menjadikan sektor itu antara penyumbang utama kepada pendapatan negara dalam industri komoditi.
Bagaimanapun, katanya, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025, nilai eksport mencatatkan sedikit penurunan kepada RM16.2 bilion berbanding RM17 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
“Nilai eksport menurun sedikit kerana pengguna lebih berhati-hati memilih produk kayu mahal. Namun, penggunaan kayu tempatan dan bahan alternatif sebenarnya meningkat, menunjukkan permintaan industri masih positif,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














