KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negara memaklumkan seramai 837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara setakat 8 November lalu kerana terlibat dalam kes penipuan online.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, daripada jumlah itu, seramai 765 orang adalah kaum Cina, Melayu (34), India (33), dan etnik lain (5).
“Seramai 837 rakyat Malaysia yang ditahan itu khusus atas kesalahan penipuan dalam talian, itu satu segmen kes sahaja, banyak lagi kesalahan serta beribu-ribu rakyat Malaysia yang tahan di luar negara. Ini juga menjadi masalah kepada kita.
“Kita mahu membina dan melonjakkan imej negara, tetapi ramai rakyat kita yang ditahan di luar negara atas kesalahan-kesalahan yang boleh mencemar nama negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Shu Qi (PH–Kluang) yang ingin mengetahui jumlah rakyat Malaysia yang sedang ditahan atau dijatuhi hukuman di luar negara disebabkan kes penipuan online serta pecahan mengikut kaum, jantina dan negara.
Tambahnya, negara kedua dengan jumlah rakyat Malaysia ditahan yang tinggi adalah Singapura iaitu seramai 148 lelaki dan 14 wanita, diikuti Jepun (34), Korea Selatan (22), India (20), Indonesia (11) dan Thailand (10), manakala negara lain pula hanya melibatkan jumlah kecil.
Mohamad menekankan isu ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu terlibat, tetapi boleh mencemarkan imej negara di mata dunia. Beliau menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada dan memahami undang-undang negara yang mereka lawati.
“Kita mahu rakyat Malaysia menjadi pelancong dan warganegara yang cemerlang, serta menjaga reputasi negara ketika berada di luar,” katanya.-KOSMO! ONLINE.














