KAPIT – Seramai 101 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dicekup dalam Ops Sapu yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak di sekitar daerah ini, kelmarin.
Menurut JIM Sarawak, kesemua PATI terbabit ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Dalam operasi tersebut, seramai 189 individu warga asing telah diperiksa, terdiri daripada 188 lelaki dan seorang wanita. Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 101 orang iaitu 100 lelaki dan seorang wanita.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan sah, melibatkan perlanggaran Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, operasi bermula pukul 9.30 pagi hingga 3.45 petang itu melibatkan kekuatan 10 pegawai imigresen daripada Pasukan Tindakan Khas serta pegawai-pegawai dari Bahagian Sibu dan Kapit. – KOSMO! ONLINE














