SHAH ALAM – Pencemaran pada makanan dan peralatan memasak dikenal pasti sebagai punca
keracunan makanan kepada 322 peserta Program Hari Keluarga sebuah agensi kerajaan di sebuah taman tema di Selangor, bulan lalu.
Kejadian berlaku pada 4 Oktober lalu apabila 322 daripada 4,710 peserta program berkenaan mengalami gejala cirit-birit, muntah dan sakit perut selepas menikmati hidangan yang disediakan di premis dapur taman tema tersebut.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan bahawa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menerima notifikasi kejadian itu, pada 6 Oktober dengan majoriti pesakit terdiri daripada golongan dewasa iaitu 92 peratus.
Menurutnya, kesemua mangsa telah dirawat dan siasatan mendapati dapur taman tema berkenaan menyimpan makanan dalam tempoh panjang sebelum dihidangkan.
“Faktor penyumbang termasuk penyediaan dalam kuantiti besar oleh bilangan pengendali terhad, penyimpanan lama sebelum dihidangkan serta kemungkinan pencemaran silang semasa proses penyediaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, JKNS menutup sementara dapur taman tema terbabit bagi tujuan pembersihan serta nyahkuman menyeluruh sebagai langkah kawalan dan pencegahan. – KOSMO! ONLINE














