SHAH ALAM – Isu kenaikan tambang bas sekolah yang menjadi rungutan ramai ibu bapa dipercayai berpunca daripada pengusaha bas haram.
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL), Mohd. Haron Mohd. Sidik berkata, pemilik kenderaan haram tidak menerima sebarang bantuan atau subsidi daripada kerajaan seperti minyak, cukai jalan dan tol.
Menurutnya, situasi ini menyebabkan kos operasi mereka jauh lebih tinggi berbanding pengusaha bas sekolah yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Sudah dua tahun tiada kenaikan tambang bas yang berdaftar dengan PBSSPKL. Mungkin yang menaikkannya adalah kalangan pengusaha bas sekolah haram.
“Justeru, ibu bapa dinasihatkan dalam memastikan bas-bas sekolah yang mereka pilih adalah berdaftar dengan kerajaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Beliau memberitahu, bas sekolah yang sah perlu mempamerkan cukai jalan terkini, permit APAD dan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di depan cermin bas tersebut.
Tegasnya, tambang bas sekolah tidak lagi dikawal oleh kerajaan sejak tahun 2015 sebaliknya tertakluk kepada mutu perkhidmatan yang diberikan seperti bas sekolah biasa, berhawa dingin dan bas baru.
“Tidak boleh ada harga pakatan sesama pengusaha dalam soal tambang sekolah ini kerana salah dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Insya-Allah, ibu bapa tidak perlu risau mengenai kenaikan tambang bas sekolah seperti sebelum ini, selagi mereka memastikan bas yang digunakan berdaftar dan mematuhi peraturan kerajaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Harun berkata, PBSSPKL mempunyai seramai 150 ahli dengan anggaran 600 hingga 700 buah bas dan van sekolah berdaftar.
Menurutnya, kebanyakan ahli mengendalikan empat hingga lima buah bas sekolah, dan ada yang memiliki sehingga 15 buah kenderaan.
“Amat menyedihkan apabila van sekolah berdaftar terpaksa bergerak dalam jumlah penumpang kurang daripada 10 orang.
“Van haram pula sesak dan secara berlebihan sehingga 30 penumpang berbanding jumlah dibenarkan sehingga 18 orang. Keadaan ini seolah-olah van haram itu berkenaan ‘macam nak muntah’.
“Lebih membimbangkan, van haram ini kebanyakannya tidak mempunyai penyaman udara, kerusi koyak, lantai rosak dan keadaan badan kenderaan juga uzur serta tidak selamat,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan ibu bapa mengeluh apabila berlaku kenaikan tambang bas sekolah untuk sesi persekolahan 2026 yang berbaki tiga hari lagi. Bagaimanapun tiada satu penjelasan terperinci berhubung kenaikan daripada pengusaha bas.
Tinjauan mendapati, kadar baharu dikenakan meningkat antara RM10 hingga RM20 sebulan bagi seorang pelajar, bergantung kepada jarak dan kawasan, sedangkan ramai ibu bapa masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.














