WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa Kazakhstan akan menyertai Perjanjian Abraham bagi menormalisasikan hubungan antara Israel dan negara-negara majoriti berpenduduk Islam, lapor laman berita Al-Arabiya hari ini.
Pengumuman itu dibuat selepas Trump berkata, beliau telah mengadakan panggilan telefon dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev.
“Kita akan mengumumkan majlis menandatangani tidak lama lagi untuk mengesahkan perkara ini secara rasmi dan terdapat banyak lagi negara yang ingin menyertai kelab kekuatan ini,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.
Kerajaan Kazakhstan dalam satu kenyataan berkata, perkara itu kini berada pada peringkat akhir rundingan.
“Penyertaan kami yang dijangka dalam Perjanjian Abraham merupakan kesinambungan semula jadi dan logik bagi dasar luar Kazakhstan yang berasaskan dialog, saling menghormati dan kestabilan serantau,” tambah kenyataan itu.
Kazakhstan sudah pun mempunyai hubungan diplomatik penuh dan ekonomi dengan Israel, menjadikan langkah itu lebih bersifat simbolik.
Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menjalin hubungan dengan Israel pada tahun 2020 di bawah Perjanjian Abraham yang ditaja oleh Trump, manakala Maghribi turut menormalisasikan hubungan dengan Israel pada penghujung tahun yang sama. – AGENSI














