SEREMBAN – Seorang guru sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 13 tahun, tahun lalu.
Tertuduh, Nazrulhisham Mahmud, 46, yang juga warden asrama sebuah sekolah di Batu Kikir, Jempol membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di bilik rehat warden pada 18 Mei dan 12 Jun 2024. Perbuatan sama turut dilakukan di bilik sukan ragbi pada 25 Mei 2024. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan satu kesalahan di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan, namun peguam Nabila Hamzah merayu jaminan minimum dengan alasan anak guamnya mempunyai tiga anak kecil dan menanggung ibu bapa yang uzur.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes dan serahan dokumen serta laporan perubatan ditetapkan pada 16 Disember ini.- KOSMO! ONLINE














