ALOR SETAR – Beberapa kawasan sekitar pekan Kuala Kedah di sini dinaiki air sehingga tiga meter ekoran fenomena air pasang besar berlaku awal pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Abdul Haliq Rafiq Mokhtar berkata, hasil pemantauan enam anggotanya pekan itu digenangi air dari pukul 12.16 tengah hingga 2 pagi.
“Antara lokasi terjejas ialah Terminal Feri Kuala Kedah, pekan Kuala Kedah, Taman Baru Kuala Kedah, Taman Seri Putra, Pasar Kota Marina dan kawasan persisiran pantai Kuala Kedah.
“Beberapa rumah di kawasan tersebut dimasuki air sebelum keadaan kembali surut pada pukul 1.30 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, cuaca berada dalam keadaan baik ketika itu tanpa hujan dan tiupan angin kuat mengakibatkan air surut dengan pantas.-KOSMO! ONLINE.














