PETALING JAYA – Empat syarikat di bawah Kumpulan Sumitomo di Malaysia menjalin kerjasama dengan Leave a Nest Malaysia bagi memperkukuh inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang memberi tumpuan terhadap agenda kelestarian alam sekitar.
Empat syarikat tersebut adalah Sumitomo Mitsui Banking Corporation Malaysia Berhad, Sumitomo Corporation Malaysia Sdn. Bhd., SMFL Leasing (Malaysia) Sdn. Bhd. dan MSIG Insurance (Malaysia) Bhd.
Kerjasama strategik julung kali diadakan itu menggabungkan komitmen Sumitomo dengan misi Leave a Nest bagi pembangunan masyarakat dan penjagaan alam sekitar, selain untuk memupuk generasi muda inovatif di rantau Asia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sumitomo Mitsui Banking Corporation Malaysia Berhad, Atsuhide Shiojiri berkata, usaha sama ini menekankan peripentingnya penyatuan tindakan korporat dengan inovasi yang dipacu oleh generasi muda.
“Malaysia dikenali sebagai pengimport utama sisa plastik, yang sebahagian besarnya tidak dapat diproses dengan baik dan akhirnya mencemari sungai kita.
“Ini menjadi punca utama sisa marin dan kemerosotan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Merujuk kepada kajian tahun 2021, enam daripada 10 negara penyumbang terbesar sisa plastik lautan global terletak di Asia Tenggara, yang mana Filipina berada di tangga pertama dan Malaysia di kedudukan ketiga.
Beliau turut mengakui bahawa Jepun sebagai antara pengeksport utama sisa plastik ke Malaysia, turut berkongsi tanggungjawab terhadap masalah pencemaran tersebut.
Situasi ini, katanya, menuntut tindakan kolektif dan inovasi berterusan antara kerajaan, sektor korporat dan masyarakat bagi mencari penyelesaian lestari yang mampu melindungi alam sekitar untuk jangka panjang. -KOSMO! ONLINE














