KUALA LUMPUR – Isu kebocoran wang zakat terus menjadi cabaran besar buat Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) apabila ramai pembayar yang bekerja di Wilayah Persekutuan memilih untuk menunaikan zakat mereka di luar kawasan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, disebabkan itu, kutipan zakat di Wilayah Persekutuan masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan keperluan bantuan yang disalurkan kepada golongan asnaf.
Beliau menjelaskan, pembayar zakat yang bekerja dan mencari rezeki di Wilayah Persekutuan sepatutnya menunaikan zakat di kawasan ini kerana wang zakat itu merupakan hak asnaf tempatan.
“Apabila mereka membayar di luar Wilayah Persekutuan, ia menyebabkan berlaku kebocoran yang menjejaskan keupayaan majlis membantu golongan memerlukan di sini. Dalam Islam, sepatutnya zakat dibayar di tempat kita mencari rezeki.
“Ibaratnya, di mana kita gali lubang, di situlah kita timbus semula. Jika tidak, kawasan ini akan berlubang (kekurangan dana), manakala tempat lain akan menimbun (berlebihan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Mesra Majikan di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Tambah Abdul Hakim, ketidakcukupun kutipan zakat dapat dibuktikan apabila tahun agihan zakat berjumlah RM1.18 bilion, sedangkan kutipan hanya RM1.035 bilion.
“Ini menunjukkan jurang atau ‘shortfall’ yang besar dan kami perlu mencari jalan untuk menampung keperluan asnaf. Sebab itu saya kata tadi cabaran besar buat kami untuk menyedarkan masyarakat.
“Sebab di sini (Kuala Lumpur) masih diperlukan lagi zakat, kalau kata asnaf di sini tak memerlukan barulah kita boleh bawa keluar duit tersebut ke tempat lain. Masalahnya di sini pun belum mencukupi (zakat),” katanya.
Selain itu, Abdul Hakim turut berkata antara cabaran lain wang zakat tidak mencukupi buat golongan asnaf adalah fenomena miskin bandar yang semakin membimbangkan.
Beliau berkata cabaran ini terjadi apabila kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur menyebabkan ramai individu berpendapatan sekitar RM5,000 masih dikategorikan sebagai miskin.
“Secara rasmi, Jabatan Perangkaan (DOSM) menetapkan pendapatan sekitar RM2,000 lebih sebagai paras kemiskinan. Namun, di Kuala Lumpur, gaji RM5,000 tak sama dengan gaji orang yang bekerja di Perlis, Kedah dan sebagainya.
“Kalau orang dekat sana mungkin boleh bina rumah, tapi di sini kalau menyewa pun mungkin sampai RM1,500. Tak masuk dengan keperluan-keperluan lain. Jadi saya kira keadaan miskin bandar ini setiap tahun nampaknya seolah-olah makin bertambah,” katanya.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Abdul Hakim berkata setakat tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, kutipan zakat menerusi saluran Potongan Zakat Bulanan
(PZB) mencatatkan peningkatan 13.07 peratus dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM491 juta, berbanding RM434 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Ujarnya, dari segi bilangan pembayar juga turut menunjukkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus dengan seramai 137,797 pembayar memilih saluran ini berbanding 132,047 pembayar, dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Apa yang lebih membanggakan, setakat tempoh Januari sehingga 14 Oktober 2025, sebanyak 362 majikan baru telah memilih PPZ-MAIWP. Kami amat berharap agar lebih ramai pihak khususnya para majikan sektor swasta dan awam dapat terus menyokong serta memperluaskan pelaksanaan Skim PZB ini.
“Dengan komitmen berterusan daripada semua pihak, insyaAllah kutipan zakat akan terus meningkat dan kebajikan asnaf di Wilayah Persekutuan dapat terus terbela,” katanya. – KOSMO! ONLINE














