KUANTAN – Polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kerana disyaki meliwat seorang kanak-kanak di kawasan semak kelmarin.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berkenaan ditahan pihak polis di rumahnya kira-kira pukul 11.15 pagi semalam.
“Kita masih menjalankan siasatan dan polis juga dalam proses untuk merujuk mangsa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya pada Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Mohd Azahari Mukhtar dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan Perundangan) Pahang Superintendan Maziah Hamzah, di sini, hari ini.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8 malam kelmarin, ketika kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu berada di kawasan kedai.
Katanya, ketika berada di deretan kedai, mangsa ditahan suspek sebelum dibawa ke kawasan semak dan dipercayai diliwat.
Dalam pada itu katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes serangan seksual dan narkotik.
Katanya, permohonan reman ke atas suspek dibuat hari ini untuk siasatan lanjut.- KOSMO!ONLINE














