PUTRAJAYA- Lebih RM159 juta pulangan pelaburan (ROI) diraih menerusi pemeteraian memorandum perjanjian (MoA), memorandum persefahaman (MoU) dan surat hasrat (LOI) antara pihak universiti tempatan dan industri.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, nilai ROI itu direkodkan sepanjang dua hari penganjuran Putrajaya FOI yang bermula semalam.
Menurutnya, sebanyak RM137.7 juta ROI diraih pada hari pertama, manakala RM21.2 juta direkodkan pada hari ini.
“Keseluruhan ROI itu dimeterai antara pihak industri dengan 68 buah universiti awam (UA), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
“Setakat ini, penyertaan MoA terbanyak membabitkan Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) dengan sembilan MoA iaitu RM1.9 juta manakala, Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) pula dengan lima MoA dan satu MoU membabitkan nilai ROI sebanyak RM2.9 juta,” katanya.
Selain itu, katanya, penyertaan dengan ROI tertinggi pula diraih oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UPMSA) dengan RM117.5 juta manakala, Universiti Multimedia (MMU) dengan RM5 juta.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pemeteraian MoU, MoA dan LoI pada FOI ini membuktikan komitmen berterusan KPT memperkukuh jaringan kerjasama strategik, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. – KOSMO! ONLINE















