Tumbuhan bukan sekadar hiasan rumah, tetapi sumber kebahagiaan dan ketenangan yang boleh diterapkan dalam dekorasi kediaman.
Itu pandangan pemilik rumah, Nadia Majid dan suaminya yang menjadikan kediaman mereka sebagai syurga hijau di kota. Katanya, melihat dedaunan hijau yang subur dan bunga yang mekar memberi kepuasan tersendiri kepadanya.
“Setiap sudut rumah kami dipenuhi tanaman hidup, dari pokok menjalar di tiang hingga rimbunan daun yang menghiasi siling.
“Di sebalik kesibukan kota dan deretan bangunan konkrit, rumah saya menjadi oasis hijau yang menenangkan jiwa, tempat berlindung daripada hiruk-pikuk kehidupan bandar,” katanya ketika ditemui CitaRasa di kediamannya di Gombak, Selangor, baru-baru ini.
Tambahnya, rumah tersebut dibina sepenuhnya bermula dari tanah kosong dengan kos keseluruhan sekitar RM800,000 termasuk perabot.
Rumah setingkat berkeluasan 2,900 kaki persegi tersebut menempatkan empat bilik tidur dan lima bilik air.
Nadia yang juga seorang eksekutif pemasaran dari Kuala Lumpur, tinggal bersama suami dan anak perempuan mereka yang berusia dua tahun.

Selepas pemergian ibunya, Nadia dan suami mengambil keputusan membina rumah di atas tanah milik bapanya, berhampiran rumah keluarga asal.
“Daripada reka bentuk hingga hiasan dalaman, semuanya hasil idea dan sentuhan saya sendiri, tanpa menggunakan khidmat pereka dalaman.
“Saya menguruskan projek pembinaan ini secara kendiri dibantu oleh lima kontraktor berbeza bagi bahagian pintu, kabinet, siling dan langsir,” katanya.
Dari segi gaya, Nadia memilih konsep eklektik iaitu gabungan pelbagai unsur yang memberi suasana hidup dan peribadi. Tidak seperti rekaan rumah pameran yang terlalu sempurna, Nadia mahu kediamannya tampak hangat dan realistik.

Palet warna neutral menjadi pilihan, berpadu lembut dengan kehijauan tumbuhan di dalam rumah, mewujudkan keseimbangan visual yang menenangkan.
“Saya juga gemar mencari perabot melalui kaedah thrifting, iaitu membeli barangan terpakai yang masih berkualiti,” katanya.
Kongsi Nadia, minat terhadap tumbuhan mula berkembang selepas pandemik. Ketika tempoh perintah berkurung, Nadia dan suami banyak menghabiskan masa di rumah lama yang tertutup dengan jeriji dan langsir tebal, menyebabkan mereka rindu akan sentuhan alam.
Sejak itu, mereka mula menanam pelbagai tumbuhan hiasan dan buah-buahan. Di halaman belakang, Nadia menanam pokok betik, mangga dan markisa, manakala di dalam rumah pula terdapat monstera, philodendron dan epipremnum yang segar menghijau.
Selain tanaman, rumah ini turut mencerminkan minat muzik suaminya. Di ruang tamu terdapat sudut khas mempamerkan pemain piring hitam dan koleksi album, sementara berhampiran ruang makan pula ada tempat santai untuk bermain gitar.
Nadia menggemari ruang tamu yang dipenuhi cahaya semula jadi, dihiasi dengan kerusi rotan kegemarannya serta lukisan abstrak hasil tangan mereka sekeluarga.
Ruang dapur basah dan kering direka praktikal dengan gaya ladang moden. Dapur kering bernuansa hijau dan merah jambu lembut menampilkan kabinet shaker dan kerusi bar terpakai yang menawan.
Pintu lipat di sisi ruang makan pula menghubungkan bahagian dalam dengan laman patio yang dinaungi bumbung kaca yang menjadi tempat keluarga ini menikmati teh petang sambil bersantai.
“Bagi saya, rumah ini bukan sekadar tempat tinggal, tetapi cerminan perjalanan hidup dan sebuah syurga hijau di tengah kota yang akan terus tumbuh bersama keluarga tercinta,” ujarnya.














