PETALING JAYA – Sejak 2018 hingga 31 Ogos 2025, hampir 30,000 tuntutan kemalangan ditolak kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja, dengan 87 peratus daripadanya melibatkan kes di luar waktu bekerja.
Antaranya kes seorang operator pengeluaran yang patah tangan kanan tahun lalu, akibat kemalangan jalan raya sewaktu menjemput isterinya pulang dari tempat kerja.
Ia diputuskan sebagai kes bukan bencana kerja kerana kemalangan berlaku ketika melaksanakan urusan peribadi.
Seorang juruteknik menerima nasib lebih malang apabila cedera di kaki kiri, tangan kanan, buah pinggang dan patah gigi akibat kemalangan sewaktu pulang ke rumah selepas bekerja lebih masa sehingga pukul 10 malam.
Semakan laporan polis dan peta lakar yang dikemukakan mendapati lokasi kemalangan berada jauh dalam lencongan daripada laluan asal ke rumah setelah dia singgah seketika di kedai makan, mengakibatkan kes itu diputuskan sebagai bukan bencana kerja.

Hari ini, kerja tidak semestinya di pejabat, ramai yang bekerja secara fleksibel dari rumah sendiri, kafe, malah dalam perjalanan.
Pada masa sama, tekanan dan risiko kerja tidak pernah terhenti di pintu kilang atau bangunan pejabat.
Dalam langkah besar Kerajaan MADANI ke arah Malaysia yang lebih selamat, inklusif dan berdaya tahan, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah pimpinan Menteri, Steven Sim Chee Keong telah membentangkan penyelesaian baharu di Parlimen iaitu Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja, atau Lindung 24/7.
Inisiatif terbaharu di bawah program LINDUNG Pekerja Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu bakal menyediakan perlindungan kepada lebih 10 juta pekerja formal di negara ini sepanjang masa, baik ketika waktu bekerja atau cuti, mahupun sewaktu melaksanakan urusan peribadi.
Ia sekaligus menamatkan persoalan sama ada sesuatu kemalangan berlaku dalam waktu kerja atau tidak.

Antara faedah yang disediakan ialah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara atau kekal, faedah orang tanggungan (kematian), faedah pengurusan mayat, elaun layanan sentiasa, pemulihan dan pendidikan.
Menurut KESUMA dalam satu kenyataan, bacaan pertama Rang Undang-Undang bagi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) telah dibentangkan di Dewan Rakyat, menandakan langkah penting dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara melalui pengenalan Lindung 24/7.
“Pengenalan Lindung 24/7 bukan sahaja meningkatkan perlindungan kepada pekerja dan keluarga mereka, malah membantu mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam negara dengan memastikan mangsa kemalangan terus mendapat bantuan kewangan dan pemulihan sewajarnya,” katanya.
Lindung 24/7 penting untuk menetapkan standard baharu dalam pembelaan keselamatan sosial dan menjadi pelengkap kepada perlindungan sedia ada kerana ketika cara bekerja hari ini menjadi semakin fleksibel, hak pekerja untuk dilindungi tidak sepatutnya berubah.
Info Skim Lindung 24/7
- Menyediakan perlindungan sepanjang tempoh penggajian 24 jam sehari, 7 hari seminggu.
- Meliputi kemalangan di luar waktu kerja dan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
- Golongan yang dilindungi ialah semua pekerja di bawah Akta 4.
- Faedah disediakan termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya dan Faedah Pemulihan.















