fbpx
Lokasi penemuan mayat lelaki yang hanya memakai seluar panjang di tepi sungai, semalam.

Mayat lelaki tanpa identiti ditemui di tepi sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Satu mayat lelaki hanya memakai seluar panjang ditemukan di tepi sungai berhampiran sebuah kolej swasta, Bandar Sunway, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 7.10 malam.

“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati mayat dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa lama berdasarkan keadaan fizikalnya.
“Identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, pemeriksaan fizikal juga tidak dapat dijalankan di tempat kejadian berikutan keadaan mayat yang tidak sempurna.

“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian serta identiti mangsa,” katanya.

Tambahnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut buat masa ini sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dan siasatan lanjut polis.

Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau kehilangan ahli keluarga agar tampil menghubungi Balai Polis Bandar Sunway di talian 03-5621 2222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN