PUTRAJAYA- Seramai 413,372 calon yang mendaftar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 akan memulakan sesi itu dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang akan bermula pada 3 hingga 6 November depan.
Seterusnya, kesemua calon terbabit akan menduduki Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada
10 hingga 13 November sebelum Ujian Amali Sains pada 17 hingga 19 November.
Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula diadakan pada 20 November, manakala peperiksaan bertulis dijadualkan berlangsung pada 25 November hingga 23 Disember depan.
Kementerian Pendidikan berkata, pihaknya mengingatkan semua calon peperiksaan SPM Tahun 2025 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat
mengenai tarikh, waktu, kod kertas dan nama kertas peperiksaan.
Katanya, mereka juga dinasihatkan mematuhi arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2025 boleh dimuat turun daripada portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.
“Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Calon juga perlu mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2025,” katanya hari ini.
KPM berkata, pihaknya cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas
peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI).
“KPM siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan.
“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya terlibat dan terkesan dengan bencana,” katanya.
Jelas KPM, calon juga boleh menghubungi bilik gerakan LP dan JPN di seluruh negara.
Untuk rekod, seramai 413,372 calon akan menduduki SPM 2025 di 3,350 pusat peperiksaan seluruh negara.
Selain itu, seramai 127,526 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan. – KOSMO! ONLINE
 
								
 
								













 
														
