CANBERRA – Seorang wanita Australia berusia 80 tahun ditemukan mati di sebuah pulau di perairan Terumbu Karang Besar selepas ditinggalkan oleh kapal persiaran yang dinaikinya, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Mangsa dilaporkan mendaki di Pulau Lizard yang terletak 250 kilometer ke utara Cairns bersama beberapa penumpang kapal Coral Adventurer Sabtu lalu.
Namun, dia terpisah daripada kumpulan itu ketika berehat.
Kapal mereka kemudian meninggalkan Pulau Lizard sekitar waktu matahari terbenam tetapi kembali semula beberapa jam kemudian selepas krunya menyedari mangsa telah hilang.
Operasi mencari besar-besaran menemukan mayatnya Ahad lalu, namun tiada butiran lanjut dikeluarkan.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (Amsa) berkata, pihaknya sedang menyiasat dan akan bertemu dengan kru kapal lewat minggu ini.
Difahamkan, mangsa berada di perhentian pertama pelayaran 60 hari di sekitar Australia dengan tiket berharga puluhan ribu dolar untuk perjalanan itu. – AGENSI














