fbpx
Ismanira bersama Allahyarham Zayn Rayyan.

Nasib ibu Zayn Rayyan diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Nasib ibu kanak-kanak Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, atas pertuduhan mengabaikan anaknya akan diketahui esok di Mahkamah Sesyen di sini.

Keputusan sama ada Ismanira Abdul Manaf, 30, disabitkan atau dibebas diakhir kes pembelaannya akan ditentukan oleh Hakim Dr. Syahliza Warnoh yang telah mendengar keterangan keseluruhan saksi.

Pihak pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada 18 September lalu dan dibalas oleh pihak pendakwaan pada 1 Oktober.

Sebelum ini, dalam hujahan bertulis pihak pembelaan menghujahkan keterangan Ismanira bukannya satu penafian kosong semasa wanita itu membela diri sebaliknya keterangan menunjukkan apa yang dikatakan wanita itu adalah konsisten selain tidak membuat fikiran terkemudian (afterthought) semasa memberi penjelasan.

Sementara itu, pasukan pendakwaan pula menghujahkan, keterangan ikut keadaan menunjukkan semasa Allahyarham Zayn Rayyan berada di bawah jagaan Ismanira, tertuduh telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada kemungkinan berlakunya kecederaan.

Pada 21 Julai lalu, Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadap Ismanira manakala gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap suami Ismanira, Zaim Ikhwan.

Mengikut pertuduhan pindaan Ismanira, 30, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI