BATU PAHAT – Ibu bapa kepada seorang kanak-kanak enam tahun yang menjadi mangsa kelar di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja di sini, Isnin lalu yang direman selama dua hari bermula semalam dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pasangan masing-masing berusia 41 tahun itu dibebaskan petang semalam selepas selesai diambil keterangan.
Katanya, keterangan diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya. “Suami isteri itu dibebaskan selepas polis siasatan selesai sepenuhnya,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Majistret Nurasidah A. Rahman membenarkan tahanan teman selama dua hari bermula semalam ke atas pasangan itu di Mahkamah Majistret Batu Pahat.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu dilakukan abang mangsa yang berusia sembilan tahun.
Katanya, abang mangsa bertindak demikian selepas dikatakan berhalusinasi selepas berang adiknya merosakkan telefon bimbit miliknya.-KOSMO! ONLINE














