SEREMBAN – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan tiga buah kenderaan lain di Kilometer 11.5 Lebuh Raya Seremban – Port Dickson (SPDH) di sini dalam kejadian pukul 8.52 malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, penunggang motosikal, Chok Woon Keong, 65, dan isterinya Yong Foong Ting, 67, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa yang merupakan suami isteri disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang berada di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson mendapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan motosikal jenis Honda ADV 350 dinaiki mangsa dan tiga buah kenderaan lain iaitu Toyota Wish, Nissan Vannette dan Proton Perdana.
Katanya, dua mangsa yang menaiki kenderaan jenis Toyota Wish iaitu lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan.
“Bagaimanapun, dua mangsa iaitu pemandu Proton Perdana dan Nissan Vanette tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat. – KOSMO! ONLINE













