PETALING JAYA – “Jangan normalisasikan nasi ayam gepuk harga kayangan.”
Itu antara luahan pengguna media sosial selepas semakin ramai yang lantang bersuara dengan kenaikan harga makanan yang dianggap tidak lagi mampu dinikmati oleh semua pembeli.
Menerusi perkongsian pengguna Threads @Abugarcia_55 berkata makanan tersebut merupakan makanan ruji dengan harga mampu milik di negara seberang.
“Di Indonesia, ayam gepuk harga serendah RM2.50,” ujarnya. Sementara itu, ramai di ruangan komen turut bersetuju harga makanan tersebut semakin tidak masuk akal memandangkan kos penghasilan juadah itu tidak tinggi.
Perkongsian tersebut meraih perhatian pengguna media sosial termasuk yang berpendapat kuasa pembeli mampu mengubah harga jualan makanan berkenaan.
“Perlu peniaga yang berani jual satu set nasi ayam gepuk dengan harga RM8.90 untuk kacau harga dalam pasaran supaya kedai lain terpaksa ikut,” komen @Hambabitter
“Makanan barat seperti chicken chop dan burger pun sekadar makanan orang marhaen tapi sampai sini (Malaysia), jadi makanan mewah,” komen @Madmiyo
“Di Indonesia, rakyat sana panggil nasi ayam gepuk sebagai ‘makanan sejuta umat’ sebab harga mampu milik,” komen @Halfies –KOSMO! ONLINE














