ETALING JAYA – Polis berjaya menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran rokok tidak bercukai dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di kawasan parkir hadapan TNB Kepong Commercial Park, di sini, Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 6.50 pagi itu telah menahan empat lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 44 tahun.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas enam kenderaan termasuk lori dan van mendapati digunakan untuk memunggah rokok yang disyaki tidak bercukai dari sebuah lori bonded enam tan kepada beberapa kenderaan lain.
“Polis merampas sebanyak 3.46 juta batang rokok jenama U2, tiga buah van Nissan Urvan, dua lori (masing-masing enam tan dan satu tan), sebuah kereta Hyundai Starex serta lapan telefon bimbit pelbagai jenama.
“Nilai keseluruhan rampasan rokok dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM9.53 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata, operasi bersepadu berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Op Taring Alpha 1 (rokok) bagi mengekang aktiviti penyimpanan dan penjualan rokok tidak bercukai di sekitar ibu negara.
“Sejak 1 Januari hingga 26 Oktober 2025, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan sebanyak 218 serbuan di seluruh negara.
“Seramai 394 individu ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, barangan kawalan, senjata tiruan, hidupan liar dan e-waste.
“Jumlah keseluruhan rampasan bagi tempoh berkenaan dianggarkan bernilai RM690.32 juta,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi undang-undang serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang kegiatan penyeludupan atau aktiviti yang menjejaskan keselamatan awam.- KOSMO! ONLINE














