MEXICO CITY – Pemandu McLaren, Lando Norris mempamerkan pemanduan sempurna untuk mendominasi Grand Prix (GP) Mexico, sekali gus merampas kembali status pendahulu kejuaraan dunia Formula Satu (F1) daripada rakan sepasukannya, Oscar Piastri.
Kemenangan di Litar Autodromo Hermanos Rodriguez semalam meletakkan pemandu Britain tersebut di puncak kedudukan dengan mengumpul 357 mata berbanding rakan sepasukannya itu mengakhiri saingan di kedudukan kelima.
“Perlumbaan yang hebat. Saya hanya perlu fokus ke hadapan dan tumpukan pada apa yang sedang saya lakukan.
“Ia perlumbaan yang agak mudah bagi saya dan inilah yang saya mahukan. Permulaan yang baik, pecutan yang lancar serta pusingan pertama yang kemas membolehkan saya mengawal perlumbaan dari situ,” kata Norris.
Ia merupakan kemenangan keenam Norris musim ini dan yang ke-10 dalam kariernya selepas kali terakhir dia mendahului kejuaraan adalah pada April lalu.
Sementara itu, Charles Leclerc dari Ferrari menamatkan perlumbaan di tempat kedua, jauh ketinggalan 30.3 saat di belakang Norris, manakala juara bertahan, Max Verstappen dari Red Bull meraih tempat ketiga.
Dalam pada itu, nasib malang menimpa Lewis Hamilton yang hampir menamatkan saingan di tempat ketiga, namun dikenakan penalti 10 saat yang menyebabkannya jatuh ke tempat kelapan.
Ketika pusingan musim ini berbaki empat perlumbaan, persaingan kejuaraan dijangka bertambah sengit antara dua pemandu McLaren itu, manakala Verstappen berada di tangga ketiga dengan 321 mata. – AGENSI














