PETALING JAYA – Operasi tren Laluan Putrajaya kini kembali stabil selepas pasukan teknikal Rapid Rail bersama pakar sistem asal (OEM) melaksanakan kerja-kerja pembaikan sistem semboyan sepanjang malam tadi.
Rapid KL dalam kenyataan di Facebook berkata, setakat pukul 11 pagi tadi semua tren beroperasi dalam mod automatik dengan sebanyak 20 tren berada di laluan tersebut dan kekerapan perjalanan setiap 10 minit bagi waktu bukan puncak.
“Ini menandakan satu langkah penting untuk mengembalikan perkhidmatan normal sepenuhnya. Walau bagaimanapun, pemantauan rapi masih dijalankan bagi memastikan kebolehpercayaan dan kestabilan sistem berada pada tahap optimum,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, bagi membantu penumpang, sebanyak 40 buah bas perantara percuma masih diteruskan buat masa ini, sementara operasi tren terus dipantau dengan teliti.
Katanya, penumpang disaran merujuk saluran media sosial Rapid KL atau aplikasi Pulse bagi maklumat terkini mengenai jadual bas.
Tambahnya, petugas stesen serta anggota polis bantuan turut ditempatkan di platform, ruang legar dan hentian bas bagi membantu penumpang yang memerlukan panduan atau maklumat lanjut. – KOSMO! ONLINE














