fbpx
Anwar ketika mengadakan pertemuan singkat bersama Trump hari ini. Foto FACEBOOK ANWAR

Anwar, Trump sepakat perkukuh hubungan dua hala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan singkat dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pagi ini sebelum pemimpin itu berlepas ke Tokyo, Jepun untuk meneruskan lawatan rasminya ke Asia.

Anwar berkata, pertemuan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin untuk meneliti semula hasil perbincangan dua hala Malaysia-AS yang telah dijalankan sebelum ini, termasuk kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, teknologi dan keamanan serantau.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Trump atas peranan beliau dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) serta Pelan Damai Gaza yang menjadi sinar harapan ke arah keamanan adil dan berkekalan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Anwar, Malaysia dan AS bertekad untuk terus memperkukuh hubungan dua hala berasaskan semangat saling menghormati, kepentingan bersama serta komitmen memperjuangkan keamanan sejagat.

Trump hari ini dijadualkan berlepas dari Malaysia bagi meneruskan lawatan enam hari ke tiga negara Asia dengan Jepun sebagai destinasi seterusnya.

Terdahulu, Trump tiba di Malaysia pagi semalam bagi memulakan lawatan rasmi dua hari sempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.

Trump mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula semalam hingga hari ini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.

Lawatan rasmi itu merupakan atas jemputan Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Ini merupakan lawatan pertama Trump ke rantau Asia Tenggara sejak dipilih sebagai Presiden AS ke-47 pada Januari lepas.

Pada semalam, Trump juga menandatangani perjanjian perdagangan dan mineral bersama Malaysia, selain mengambil langkah memulihkan hubungan dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, selepas beberapa bulan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara.

Dalam pada itu, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menyaksikan sejarah penting apabila Thailand dan Kemboja bersetuju untuk memeterai Perjanjian KL Accord bagi melaksanakan genjatan senjata, sekali gus mewujudkan pendamaian di sempadan kedua-dua negara.

Pemeteraian perjanjian damai itu ditandatangani antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam satu majlis khas yang turut dihadiri Trump. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI