PARIS – Dua suspek ditangkap berhubung rompakan barang kemas termasuk mahkota berharga dari Muzium Louvre di Paris, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Pejabat pendakwa raya Paris berkata, seorang lelaki ditahan ketika cuba menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle.
Barangan bernilai €88 juta (RM431.5 juta) dilarikan dari muzium yang paling banyak dikunjungi di dunia itu pada Ahad minggu lalu, apabila empat pencuri memecah masuk ke dalam premis pada siang hari.
Menurut pejabat pendakwa raya Paris, tangkapan dibuat petang kelmarin tanpa menyatakan berapa ramai orang yang telah ditahan.
Salah seorang suspek cuba menuju ke Algeria, kata sumber polis kepada pemberita, manakala seorang lagi difahamkan bersedia untuk menaiki penerbangan ke Mali.
Polis boleh menahan dan menyoal siasat mereka sehingga 96 jam.
Menurut akhbar Perancis semalam, asid deoksiribonukleik (DNA) yang ditemui di tempat kejadian membawa kepada pengenalan salah seorang suspek.
Geng pencuri itu meninggalkan beberapa barangan termasuk sarung tangan dan jaket.
Mereka dilaporkan menjatuhkan mahkota bersejarah yang pernah menjadi milik Maharani Eugenie iaitu isteri Napoleon III.
Menurut polis, kumpulan pencuri itu berada dalam Muzium Louvre selama empat minit dan melarikan diri dengan menaiki dua buah skuter yang menunggu di luar pada pukul 9.38 pagi (waktu tempatan).
Seorang pakar berkata, semua permata yang dicuri mungkin dipecahkan kepada ratusan kepingan lebih kecil.
“Emas dan perak boleh dileburkan dan permata boleh dipotong menjadi batu lebih kecil yang hampir mustahil untuk dikesan dan dikaitkan dengan barang rompakan itu,” kata pakar hasil seni Belanda, Arthur Brand kepada BBC. – AGENSI














