KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka meninggalkan negara esok pagi selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini.
Difahamkan, sebaik meninggalkan persidangan, Trump dipercayai menginap di Hotel Ritz Carlton malam ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menghadiri majlis ‘send-off’ Trump di hotel berkenaan kira-kira pukul 7 pagi sebelum menuju ke Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
Dijadual mengadakan lawatan ke Jepun selepas ini, Trump dijangka berangkat menaiki pesawat Air Force One kira-kira pukul 10 pagi esok.
Trump sebelum ini dilaporkan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan menaiki limosin berwarna hitam dikenali ‘The Beast’.
Beliau kemudian tampil memberikan ucaptama pada Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Kemboja-Thailand selain menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Beliau yang memakai sut warna biru gelap dan tali leher merah dikatakan meninggalkan pekarangan KLCC sekitar pukul 4.42 petang.
Kelibat Trump bagaimanapun gagal dikesan orang ramai dan petugas media yang didakwa menggunakan laluan berlainan di atas faktor keselamatan. – KOSMO! ONLINE














