KUALA LUMPUR – Presiden Donald Trump dijadualkan berlepas dari Washington malam esok dan tiba di Malaysia pagi Ahad ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, lapor saluran berita ABC News.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt semalam.
“Esok (Sabtu) pukul 11 malam (waktu tempatan), Trump akan meninggalkan White House dan berlepas ke Malaysia. Ia adalah penerbangan yang panjang.
“Trump akan menghadiri pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sebelah petang, diikuti Majlis Makan Malam Pemimpin ASEAN,” kata Leavitt.
Beliau akan berlepas ke Tokyo pada pagi Isnin ini bagi menyertai mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi.
Trump kemudian akan tiba di Busan untuk bertemu Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung pada Rabu ini.
“Beliau juga akan bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping pada Khamis ini sebelum pulang ke Washington,” tambah Leavitt. – AGENSI














