fbpx
Ahmad Yani (tengah) dan Wan Munadi (empat dari kiri) menyerahkan sumbangan khairat kematian YGMB kepada Asiah di rumahnya di Kampung Wakaf Zing, Jeli hari ini.

Keluarga Rambo Castello terima khairat kematian YGMB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JELI – Keluarga pempengaruh media sosial, Rambo Castello menerima sumbangan khairat kematian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) selepas meninggal dunia akibat serangan jantung di Yogyakarta, Indonesia pada minggu lalu.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Ahmad Yani Muhammad dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat kepada keluarga Rambo Castello atau nama sebenarnya Ahmad Radzli Che Ngah, 59, yang merupakan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli.

Anak kepada arwah Ahmad Radzli, Hafizul Fazli, 30, berkata, kehidupan Allahyarham yang sentiasa ceria bersama keluarga dan masyarakat membuatkan kehilangannya sangat terkesan kepada semua pihak. Menurutnya, peminat di media sosial tidak putus-putus menitipkan doa kepada arwah selain turut memberi kata-kata semangat kepada keluarga untuk terus tabah.

“Pemergian Allahyarham satu kehilangan besar. Kami sekeluarga menerima sokongan luar biasa daripada peminat di media sosial apabila ramai yang menyampaikan ucapan takziah sejak ayah sakit hingga pemergiannya.

“Dia banyak buat perkongsian di media sosial mengenai kehidupan selain suka mengaji al-Quran untuk dikongsikan dengan peminat. Dalam keluarga kami, dia paling rapat dengan adik bongsu (Nor Fazliana) apabila banyak melakukan aktiviti untuk dikongsikan di media sosial,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Wakaf Zing, di sini hari ini.

Hafizul Fazli memberitahu, YGMB merupakan wakil rasmi pertama yang menyantuni keluarga untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga sekali gus dapat meringankan beban khusus buat ibunya, Asiah Abdullah, 55.

Sementara itu, Wan Munadi berkata, YGMB menyegerakan penyerahan manfaat Ahli Skim Emas bagi meringankan beban keluarga Allahyarham selain menepati janji bahawa YGMB tidak akan melupakan ahli yang ditimpa musibah.

Menurutnya, beliau terkesan dengan pemergian Rambo Castello yang merupakan pempengaruh media sosial yang terkenal dalam kalangan masyarakat termasuk pendidik.

“Pihak YGMB berharap sumbangan khairat kematian itu dapat membantu meringankan beban ahli dan waris dalam menghadapi cabaran yang ditimpa musibah. YGMB terus komited untuk memberikan sokongan kepada semua ahli terutamanya yang ditimpa ujian.

“Kebanyakan kandungan yang dihasilkan oleh Allahyarham sarat dengan ilmu-ilmu bermanfaat kepada masyarakat. Walaupun celotehnya nampak lucu, kandungan videonya penuh dengan ilmu yang boleh dijadikan sebagai amalan dan pedoman,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, Rambo Castello meninggal dunia di Rumah Sakit Sardjito, Yogyakarta, Indonesia selepas mengalami serangan jantung dan jangkitan paru-paru kira-kira pukul 2.38 pagi waktu Indonesia pada 17 Oktober lalu.

Ahmad Radzli menghembuskan nafas terakhir di samping isterinya, Asiah dan Hafizul Fazli di hospital berkenaan.

Rambo Castello merupakan pempengaruh media sosial terkenal dengan kandungan berbentuk nasihat mengenai kehidupan masyarakat luar bandar serta perkongsian tip bercucuk tanam.

Beliau mempunyai lebih 168,000 pengikut di Facebook dan lebih 330,000 pengikut di TikTok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN