SHAH ALAM – Berebut teman wanita menjadi punca empat lelaki bergaduh di tepi jalan di Bandar Setia Alam, di sini, semalam sehingga tular dalam media sosial.
Dalam kejadian pada pukul 3.51 petang itu, seorang daripada suspek tersebut dikesan menggunakan kayu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya yang menerima maklumat berhubung kejadian berjaya menahan dua suspek berusia 44 dan 69 tahun di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah ini.
Katanya, hasil soal siasat pihaknya merampas kayu sepanjang 91 sentimeter dipercayai digunakan ketika kejadian. Seorang lagi suspek berusia 22 tahun diberkas di hadapan sebuah rumah di Taman Kapar, Klang pada pukul 10 malam tadi.
“Usaha mengesan seorang lagi suspek sedang dilakukan. Siasatan mendapati kejadian berpunca akibat perebutan teman wanita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja merusuh menggunakan senjata kayu atau rotan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohamad Hanafi Abdul Ghani di talian 010-3728932. – KOSMO! ONLINE














