PETALING JAYA – Sistem pendidikan tinggi negara bakal melalui anjakan besar dan perubahan menyeluruh dalam tempoh sedekad akan datang, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Menurut Zambry, langkah itu sedang digerakkan melalui penyediaan pelan dasar baharu bagi sektor pendidikan tinggi bagi tempoh 2026 hingga 2035, hasil sumbangan idea lebih 8,000 ahli akademik dan sarjana tempatan.
“Sistem pendidikan tinggi kini sudah banyak berubah. Pendekatan lama tidak lagi sesuai, terutama dari segi pedagogi dan kokurikulum. Peranan ahli akademik amat besar bukan untuk berkelahi, tetapi mencipta dan menyuburkan idea baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Anugerah Akademi Negara (AAN) Ke-16 di sini, hari ini.
Zambry berkata, pelan dasar baharu itu diyakini mampu memberi impak besar terhadap landskap pendidikan tinggi negara, sekali gus memanfaatkan kepelbagaian kepakaran warga akademia.
“Dunia pendidikan memerlukan idea besar. Kini kita dapat lihat pelbagai penemuan dan penyelidikan baharu universiti semakin berkembang.
“Jika dulu hanya universiti tertentu diberi tumpuan, kini setiap institusi mempunyai kehebatan dan kekuatan tersendiri dalam bidang masing-masing,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














