SEREMBAN – Sebuah struktur tugu didakwa menyerupai simbol “Freemason” di Bandar Tasik Senangin di sini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang majoritinya beragama Islam.
Difahamkan, tugu itu dibina kira-kira dua minggu lalu tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk yang bimbang dengan kewujudan tugu tersebut kerana dikhuatiri menimbulkan salah faham dan suasana tegang di kawasan itu.
“Saya telah memanggil pihak penguat kuasa tempatan bagi meredakan keadaan dan memastikan isu ini tidak menimbulkan ketegangan dalam kalangan penduduk,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Datuk Ir. Ts. Masri Baharuddin berkata, pihaknya menerusi Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan mengambil tindakan segera terhadap struktur tugu yang didakwa menyerupai simbol ‘Freemason’ di lokasi tersebut.
Katanya, siasatan oleh Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan mendapati binaan dibuat di tempat awam.
“Notis halangan awam di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dikeluarkan dan kawasan itu ditutup bagi menghalang sebarang penambahan bangunan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE