WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengaku beliau merobohkan bahagian Sayap Timur White House kerana bangunannya tidak pernah menimbulkan rasa kagum pada dirinya, lapor portal berita MailOnline semalam.
Sebelum ini, Trump mendakwa bahawa bangunan berusia 83 tahun itu tidak akan disentuh dalam projek pembinaan dewan tari bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) yang dibiayai secara persendirian.
Namun, apabila gambar menunjukkan sebuah jentolak sedang memecahkan dinding bangunan bersejarah itu pada Isnin lalu, perkara tersebut segera menimbulkan kebimbangan orang ramai.
“Ia tidak pernah dianggap sesuatu yang istimewa,” kata Trump ketika ditanya mengapa perobohan itu dilakukan dalam satu mesyuarat bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte.
Namun minggu lalu, ketika beliau menjadi hos kepada para penderma dewan tari-menari dalam satu majlis makan malam di White House, presiden itu kelihatan secara tidak sengaja mendedahkan perkara sebenar.
Trump membuka langsir di belakangnya untuk memperlihatkan tapak pembinaan di luar.
“Ia akan dirobohkan. Segala yang ada di luar itu akan dibuang dan digantikan dengan dewan tari-menari paling indah yang pernah ada,” ujarnya. – AGENSI