KUALA LUMPUR – Pantai Hospital Cheras (PHC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Narqes Wellness bagi memperkukuh penjagaan kesihatan ibu selepas bersalin.
MoU selama setahun bermula 1 November depan akan membolehkan langkah pengintegrasian Narqes Confinement Centre ke dalam pakej kelahiran hospital berkenaan.
Pengasas dan juga Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Narqes, Datin Narqes Raimi berkata, kerjasama itu membolehkan para ibu yang melahirkan anak di PHC sama ada melalui kelahiran normal atau pembedahan menikmati perkhidmatan berpantang dengan pelbagai keistimewaan eksklusif.
Antaranya termasuk diskaun lima peratus, jemputan ke kelas antenatal serta sesi pendidikan bulanan oleh pakar perubatan PHC yang diadakan di pusat berpantang berkenaan.
“Kami terharu apabila Pantai Hospital memlilih dan memberi kepercayaan kepada Narqes untuk menguruskan pesakit mereka yang ingin berpantang di pusat penjagaan kami.
“Dengan kepercayaan ini juga, kami akan menyediakan kemudahan yang istimewa dan premium buat semua pesakit. Di pusat ini, kami mampu menampung antara tujuh hingga lapan pelanggan dalam satu-satu masa,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar senpena MoU berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekuti PHC, Chong Soon Mei di sini semalam.
Mengulas lanjut, Narqes berkata, setakat ini perkhidmatan tersebut hanya ditawarkan di Narqes Wellness & Confinement Centre di Cheras di sini.
Bagaimanapun, pihaknya tidak menolak untuk membuka lebih banyak pusat jagaan seperti itu selepas ini bergantung kepads permintaan dan kerjasama dengan pihak lain.
“Untuk masa ini, di sini sahaja. Jadi orang ramai yang ingin berpantang secara eksklusif bolehlah berkunjung ke cawangan kami ini.
“Di sini kita menyediakan segala kemudahan dari selepas bersalin sehingga selesai berpantang. Kakitangan di sini juga terlatih dan mereka mempunyai pengalaman lebih dari tiga tahun.
“Apa yang istimewa, semua produk berpantang juga dihasilkan sendiri oleh pihak Narqes yang mempunyai kilang sendiri. Jadi pelanggan tidak perlu bimbang kerana produk kami mendapat kelulusan pihak berkuasa,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE