PUTRAJAYA- Pembinaan jalan raya dan jambatan baharu yang menghubungkan Jerantut dan Lipis di Pahang disifatkan memberi kelegaan kepada penduduk yang sebelum ini perlu bergantung kepada laluan berisiko khususnya pada musim hujan.
Projek dirasmikan Timbalan Perdana Menteri juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu juga dilihat akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi setempat.
Pengarah Menang Idaman Sdn. Bhd. (MISB), Mohd. Tarmizi Mohd. Zuki berkata, pembinaan projek itu bakal menghubungkan empat kampung iaitu Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela, Kuala Lipis.
“Pembinaan projek terbabit membawa pelbagai manfaat termasuk memendekkan jarak perjalanan daripada 60 kilometer (km) yang memakan masa satu jam perjalanan kepada hanya 17km dan masa perjalanan selama 15 minit,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Projek bawah selian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana itu juga telah siap lebih awal daripada perancangan dan dibuka kepada umum pada 31 Ogos lalu.
Kata kenyataan itu, pihaknya juga berdepan beberapa cabaran termasuk jambatan sementara yang runtuh tiga kali akibat bencana alam.
“Bagaimanapun kami tetap komited meneruskan pembinaan dengan tekun serta mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan jambatan sebenar lebih kukuh, selamat dan bermanfaat kepada orang ramai.
“Pembinaan itu juga mewujudkan laluan strategik pelancongan yang menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan dengan Cameron Highlands melalui Kuala Lipis, sekali gus membuka peluang baharu pembangunan wilayah pada masa depan,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE