fbpx
PIASTRI berdepan masalah prestasi sejak beberapa perlumbaan lalu sehingga kehilangan banyak jurang mata ketika ini. - AFP

F1: McLaren terus beri kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AUSTIN – McLaren menegaskan mereka tidak akan memberi keutamaan kepada mana-mana pemandu dalam perebutan gelaran juara dunia Formula Satu (F1) selagi peluang masih terbuka buat kedua-dua pelumba, Oscar Piastri dan Lando Norris.

Ketua pasukan, Andrea Stella berkata keputusan hanya akan dibuat sekiranya salah seorang daripada mereka tidak lagi mempunyai peluang secara matematik untuk merangkul kejuaraan.

“Masih ada lima perlumbaan dan dua pecut. Jadi, kami tidak akan menutup peluang mana-mana pemandu selagi perkara ini belum ditentukan secara matematik,” katanya.

Perlumbaan kejuaraan musim ini semakin sengit selepas kemenangan Max Verstappen di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat yang menyaksikan pelumba Red Bull itu kini hanya 40 mata di belakang Piastri.

Meskipun kelebihan masih milik Piastri, prestasinya kebelakangan ini agak menurun apabila tewas kepada Norris dalam beberapa perlumbaan terakhir, termasuk di Singapura dan Austin, sekali gus hanya dibezakan 14 mata antara kedua-duanya menjelang GP Mexico hujung minggu ini.

“Kami lihat lima perlumbaan terakhir ini sebagai peluang untuk menjarakkan kedudukan dengan Verstappen. Saya percaya kereta kami masih mempunyai potensi yang boleh digilap dan pelumba juga tahu mereka mampu lakukan lebih baik,” ujar Stella.

Tambahnya, pengalaman lalu menunjukkan kejuaraan boleh berubah hingga ke perlumbaan terakhir, justeru McLaren enggan membuat keputusan terburu-buru.

“Saya masih ingat musim 2007 dan 2010, di mana pelumba ketiga akhirnya muncul juara. Jadi, kami takkan menutup pintu selagi peluang itu belum tertutup sepenuhnya,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI