PROJEK Rakan Tani Pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang pertama dibangunkan khusus untuk pesawah di Malaysia, bakal merancakkan lagi aktiviti penanaman padi dan sekaligus dapat menyokong usaha ke arah peningkatan pengeluaran padi di seluruh negara.
Melalui aplikasi mudah yang boleh dicapai menerusi WhatsApp sebagai medan komunikasi bagi Rakan Tani Pintar AI, ia memudahkan pesawah mendapatkan maklumat dengan cepat, dalam masa nyata (on realtime) dan terus di hujung jari para pesawah seolah-olah membawa ‘pakar penasihat’ terus ke sawah pada setiap masa.
Ketua Jabatan Pengurusan Ladang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Mohd Zakri Zulkafli berkata, inisiatif berkenaan dibangunkan menerusi hasil kolaborasi awam – swasta di antara Kementerian Digital, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dan The Hive Global AI Village, manakala BERNAS menyumbang kepakaran dalam bidang pengurusan sawah.

“Rakan Tani Pintar AI ini merupakan satu sistem membolehkan pesawah mendapatkan nasihat bermula dari awal persediaan hinggalah proses menuai padi. Ini termasuk berkenaan pemuliharaan kesuburan tanah sawah, baja, penggunaan racun bagi mengawal rumpai, serangga perosak dan penyakit berkaitan padi.
“Pesawah hanya perlu menghantar WhatsApp kepada Rakan Tani Pintar AI dan ia akan memberikan panduan secara spesifik mengikut umur padi, jenis padi yang ditanam mengikut keadaan setempat,” katanya menerusi temu bual khas.
“Pesawah pada hari tersebut tidak pasti nak buat apa, dia boleh buka WhatsApp mendapatkan nasihat Rakan Tani Pintar AI. Contohnya hari itu adalah hari
ke-25 penanaman, jadi waktu sesuai untuk melakukan pembajaan kedua.
“Sistem itu turut memberi jangkaan kepada pesawah mengenai kesan selepas aktiviti dilakukan. Sebagai contoh, selepas pembajaan, mereka boleh melihat perubahan fizikal seperti perubahan warna daun,” katanya.
Integrasi Sistem Merangkumi Setiap Aspek
Mohd Zakri berkata, sistem itu juga bakal diintegrasikan dengan ramalan cuaca setempat dan ini membolehkan pesawah melakukan aktiviti sawah berdasarkan maklumat yang diberikan.
“Apabila nak meracun misalnya, keadaan ketika itu mestilah tiada angin kuat, hujan atau sangat panas. Jadi sistem itu akan memberikan respons waktu terbaik untuk melakukan aktiviti tersebut.”
“Menariknya bukan sahaja boleh menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris, malah dengan dialek negeri-negeri sekali gus tidak perlu menghantar mesej menggunakan bahasa baku. Mesej berbentuk suara juga boleh dihantar,” katanya.
Teknologi Moden Untuk Tarik Golongan Muda
Mengulas lanjut, Mohd Zakri berkata, penggunaan Rakan Tani Pintar AI antara usaha menarik golongan muda menceburi penanaman padi yang mana ketika ini sebilangan besar pesawah terdiri daripada usia 60 tahun ke atas.
“Selain pengurusan sawah lebih baik, kita percaya dengan teknologi jentera mesin, dron, Internet Kebendaan (IoT), kecerdasan buatan dengan pelbagai lagi inisiatif, kuncinya kita mahu sektor pertanian dimodenkan sekali gus menarik generasi muda,” katanya.
Mohd Zakri berkata, untuk itu pengujian projek Rakan Tani Pintar AI telah dijalankan melibatkan pakar agronomi dan pegawai lapangan BERNAS, sebelum ia akan mula digunakan menerusi projek perintis dalam masa terdekat ini.
“Projek masih dalam peringkat ujian sebelum kita ke peringkat seterusnya secara komersial.
Projek perintis dijangka bermula dalam masa terdekat melibatkan beberapa kumpulan pesawah.
“Kita akan melakukan demonstrasi bersama pesawah, sesi latihan, manakala kru teknikal dan pegawai lapangan juga turun memberi tunjuk ajar,” katanya.
“Setakat ini, maklum balas diterima daripada tinjauan pesawah di kawasan adalah positif, biarpun pada mulanya mereka risau susah digunakan. Selepas kita tunjuk ajar dan cara berfungsi, ramai menyatakan senang digunakan.
Beliau berkata, menerusi projek perintis berkenaan, segala maklum balas, impak dan keputusan daripada penggunaan Rakan Tani Pintar AI akan diambil untuk ditambah baik.
Katanya, sistem itu dijangka dikomersialkan di seluruh negara dan selepas pelancaran pada awal tahun 2026, ini sekali gus bakal memberi manfaat kepada pesawah berdaftar di seluruh negara.
AI Kurangkan Kos Kepada Pesawah
“Fokus utama kita hendak memperoleh hasil padi, menurunkan kos dan pesawah mendapat keuntungan yang lebih. Secara purata, ia akan memberi hasil kepada negara dalam memastikan keterjaminan makanan pada masa akan datang.
“BERNAS juga ke hadapan menerusi penggunaan teknologi termasuk imej satelit, AI dan sebagainya. Kesemua ini adalah untuk melengkapi sokongan kepada kerajaan untuk meningkatkan hasil padi negara,” katanya.
Ujarnya, penggunaan alatan canggih dengan teknologi tinggi menjadikan sektor pertanian dilihat lebih profesional di mata golongan muda sekali gus tarikan mereka untuk menceburi penanaman padi.
“BERNAS bukan sahaja mahu menaik taraf pesawah, bahkan mengukuhkan keterjaminan makanan di Malaysia selaras Agenda Sekuriti Makanan Negara dengan Kadar Sara Diri menjelang 2030 mencapai 80 peratus melalui inisiatif-inisatif di antaranya juga ialah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB),” katanya.
Program Rakan Tani Pintar AI diperkenalkan pada masa yang signifikan, ketika usaha memperkukuh keterjaminan makanan terus menjadi keutamaan kerajaan. Penekanan ini terserlah melalui peruntukan subsidi pertanian tertinggi dalam sejarah bagi pesawah padi di bawah Bajet 2026 serta pelbagai inisiatif lain untuk memperkasa komuniti tani.
Di peringkat akar umbi, Rakan Tani Pintar AI akan terus menyokong usaha memacu produktiviti jangka panjang melalui penerapan teknologi berskala besar, sekali gus membolehkan pesawah memanfaatkan kemajuan digital secara langsung dalam aktiviti harian mereka. -KOSMO! ONLINE