KOTA BHARU – Ahli sindiket atau tokan dadah di Kelantan dikesan menayangkan kemewahan yang diperoleh melalui hasil jualan dadah bagi menarik minat golongan remaja untuk dijadikan pengedar secara kecil-kecilan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, situasi itu menyebabkan remaja mengidolakan kekayaan yang dimiliki golongan tersebut sekali gus menarik minat mereka untuk menyertai sindiket dadah.
Menurutnya, polis mempunyai maklumat mengenai golongan remaja di negeri ini yang menjalankan kegiatan mengedar dadah.
“Remaja secara tidak langsung akan mengikut jejak langkah individu yang menjadi idola mereka melalui kemewahan tersebut. Mula-mula secara kecil-kecilan, lama-lama mereka juga mahu gaya hidup seperti tokan dadah.
“Siasatan lanjut mendapati, tokan dadah akan menayang kemewahan melalui kereta dan rumah besar kepada remaja untuk menarik mereka menjadi pengedar dadah,” katanya ketika berucap pada Peluncuran Program Citra Remaja Unggul Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, setakat ini, seramai 12 remaja dicekup di Kelantan pada tahun ini selepas didapati terbabit dengan penyalahgunaan dadah sepanjang Januari sehingga September.
Menurutnya, kebanyakan remaja ditahan di Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok dan Tanah Merah itu terbabit dengan dadah sintetik termasuk pil kuda. – KOSMO! ONLINE














