PETALING JAYA – Industri hiburan Indonesia hari ini kecoh apabila penyanyi Raisa didakwa dalam proses memfailkan cerai terhadap suaminya yang juga pelakon, Hamish Daud.
Khabar angin mengenai keretakan rumah tangga pasangan tersebut semakin bertiup kencang selepas Raisa memadam foto mereka bersama termasuk momen menyambut ulang tahun perkahwinan ketujuh mereka yang dimuat naik pada September lalu.
Memetik laporan Tribunnews, wakil dari Pejabat Agama Jakarta Selatan (PA Jaksel) bagaimanapun masih belum boleh mengesahkan mengenai dakwaan tersebut.
Pegawai perhubungan PA Jaksel, Dede Rika Nurhasanah berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mahupun permohonan perceraian daripada mana-mana individu bernama Raisa Andriana.
Dakwaan keretakan rumah tangga pasangan tersebut turut mengundang reaksi peminat yang mendoakan agar khabar angin tersebut tidak benar.
Meski hangat menjadi bahan bualan ramai, Raisa mahupun Hamish masih mengunci mulut daripada memberi sebarang kenyataan mengenai dakwaan perceraian tersebut.
Sebelum ini, status rumah tangga Raisa juga sering menjadi bualan ramai apabila Hamish jarang menemaninya ke acara hiburan.
Terdahulu, Raisa Andriana, 35, dan Hamish Daud menikah pada 3 September 2017 di Jakarta.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Zalina Raine Wyllie. – KOSMO! ONLINE