NILAI Liga Malaysia memerlukan peningkatan yang wajar dan harus bergerak seiring dengan lonjakan prestasi yang dijelmakan skuad kebangsaan di pentas antarabangsa ketika ini.
Berdasarkan penilaian semasa menerusi data yang dikongsikan oleh laman sesawang Transfermarkt, Liga Super Malaysia berada di tangga keempat dalam kalangan negara Asia Tenggara apabila dianggarkan bernilai RM260 juta.
Anggaran itu dilihat masih ketinggalan jauh berbanding Liga 1 Thailand yang menghuni tangga pertama untuk pasaran liga di Asia Tenggara, mencecah nilai pasaran setinggi RM392.7 juta.
Ia diikuti Liga Super Indonesia (RM383.6 juta) dan Liga 1 Vietnam ketiga dengan nilai RM297.17 juta.
Keadaan ini pastinya menuntut usaha lebih daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi meningkatkan lagi mutu dan publisiti terhadap Liga Super, selain kelab bertanding juga wajar memainkan peranan untuk mewujudkan persaingan kompetitif dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bagaimanapun, Liga Super kini semakin mendapat perhatian khususnya selepas penyenaraian tonggak JDT, Arif Aiman Hanapi dalam senarai tiga pemain terbaik tahunan pada Anugerah Tahunan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2025.
Tiga tempat teratas untuk nilai pasaran tertinggi liga di Asia dikuasai oleh Liga Pro Saudi dengan nilai RM5.58 billion diikuti Liga Qatar (RM1.98 billion) dan Liga Pro UAE dengan anggaran nilai RM1.87 billion.
Bagaimanapun, nilai tinggi Liga Pro Saudi turut disumbangkan oleh kehadiran deretan bintang dunia seperti Cristiano Ronaldo, Riyad Mahrez dan N’Golo Kante.