PETALING JAYA – Seorang lelaki maut, manakala seorang wanita cedera dalam kejadian pokok tumbang susulan hujan lebat dan ribut di sekitar Kuala Lumpur petang ini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4 hingga 5.30 petang.
“Anggota bomba dikerah ke lokasi terjejas bagi melakukan kerja-kerja menyelamat, membersih dan memotong pokok tumbang bagi memastikan keselamatan awam di kawasan berkenaan terjamin,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Antara kawasan terlibat adalah di Jalan Metro Prima, Kepong Baru melibatkan sebuah kereta dihempap pokok menyebabkan seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an cedera.
“Di Persiaran Dutamas, Taman Duta, dua buah kereta dihempap pokok menyebabkan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an meninggal dunia.
“Di Jalan Burung Balam, Taman Bukit Maluri pula, sebuah lagi kereta dilaporkan terlibat dalam kejadian sama, namun tiada kemalangan jiwa,” katanya.
Kerja-kerja pembersihan dilaksanakan segera di lokasi-lokasi yang terjejas.
“Pasukan bomba Kuala Lumpur akan terus berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cuaca buruk yang dijangka berterusan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan dua lokasi di ibu negara terpaksa ditutup sepenuhnya ekoran kejadian pokok tumbang petang ini.
Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, kawasan terlibat ialah Jalan Sultan Haji Ahmad Shah menghala ke Jalan Dutamas berhampiran Arte Mont Kiara. – KOSMO! ONLINE