TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa tentera Rejim Zionis menggugurkan 153 tan bom dalam serangan ke atas Gaza kelmarin sekali gus mengaku melanggar gencatan senjata, lapor laman berita Middle East Monitor.
Bercakap pada pembukaan sesi musim sejuk Knesset (parlimen), Netanyahu berdepan gangguan berulang daripada wakil rakyat pembangkang yang membantah dasar kerajaannya dan menuduh dia sengaja memanjangkan perang di Gaza.
“Semasa gencatan senjata, dua askar (Israel) mati.
“Kami menyerang mereka (Gaza) dengan 153 tan bom dan menyerang berpuluh-puluh sasaran di seluruh Semenanjung Gaza,” kata Netanyahu.
Pejabat media Gaza melaporkan 80 pelanggaran gencatan senjata dilakukan Israel sejak perjanjian tajaan Amerika Syarikat (AS) itu berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.
Ia mengakibatkan 97 rakyat Palestin terbunuh termasuk 44 kelmarin, manakala 230 yang lain cedera.
Rejim Zionis menuduh Hamas menyerang tenteranya di bandar Rafah, yang dijadikan alasan untuk Israel melancarkan serangan ke atas Gaza hujung minggu lalu.
Hamas menafikan sebarang penglibatan anggotanya dan menegaskan komitmen kumpulan tersebut terhadap perjanjian gencatan senjata. – AGENSI