PERKEMBANGAN teknologi dan inovasi digital telah menjadikan telefon bimbit kini lebih daripada sekadar alat untuk membuat panggilan atau menghantar pesanan ringkas.
Buktinya, telefon bimbit yang kini lebih mesra digelarkan sebagai peranti pintar memiliki pelbagai fungsi, baik dari sudut fotografi, hiburan mahupun maklumat, semuanya dapat dibuat di hujung jari.
Demi mendapatkan spesifikasi terbaik, pempengaruh terkenal dari negeri Pantai Timur yang popular dengan nama Mubarak_mung menggunakan telefon pintar jenis iPhone 14 Pro Max.
Mula digunakan sejak April lalu, Mubarak atau nama lengkapnya Mubarak Olohuntogun Mohammed Muneer Deen Olodo Al-Shafi’i, 20, mengakui telefon tersebut memberikan kepuasan terutama kualiti foto dan video.
“Sebelum ini saya menggunakan iPhone 11 selama lebih tiga tahun sebelum ia ‘meragam’ dan tidak lagi berfungsi dengan baik.
“Bagi saya iPhone 14 Pro Max ini berfungsi sangat baik, bukan saja kerana kualiti gambar dan rakaman video tetapi ia juga lancar dan memudahkan urusan untuk saya membuat suntingan kandungan ke media sosial.
“Bermain permainan video juga lancar dan banyak membantu saya untuk membuat kerja mencari informasi dengan mudah di internet,” katanya kepada K-Tekno.
Selain cerita tentang peranti pintar kegemaran, Mubarak juga gemar bermain permainan video Mobile Legend Bang Bang dengan Genshin Impact pada waktu lapang.
Baginya bermain permainan video bukan sekadar untuk hiburan semata-mata tetapi dapat mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan.
“Selepas semua tamat persekolahan, ramai kawan-kawan sekarang membawa haluan masing-masing. Jadi, dengan permainan video ini membolehkan kami berinteraksi dan berhubung.

“Meskipun secara dalam talian tetapi cara ini juga dapat mengeratkan hubungan biarpun kami saling terpisah. Sambil bermain, kami juga dapat bertukar-tukar cerita dan perkembangan masing-masing,” kata pemuda Nigeria yang sudah hampir 10 tahun menetap di Terengganu. Kerjaya sebagai pempengaruh tentu saja membuatkan
Mubarak sangat dekat dengan media sosial. Mana tidaknya, platform digital itu menjadi salah satu sumber pendapatan baginya dengan cara membuat ulasan produk.
“TikTok menjadi medium yang paling kerap saya guna kerana bukan saja untuk berkongsi kandungan tetapi dapat juga membantu kita menambah pendapatan.
“Kaedah affiliate boleh digunakan untuk menjana pendapatan sampingan. Sekarang ini menggunakan telefon saja sudah cukup untuk menghasilkan video yang menarik.
Jadi, kita boleh kongsikan pautan (link) affiliate dan mula berniaga.
“Kalau bosan saya juga gemar menonton kandungan di TikTok sama ada untuk mengikuti perkembangan semasa atau sekadar hiburan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mubarak turut berkongsi tentang pengalaman menggunakan komputer riba jenis Acer Nitro 5. Selain menggunakan peranti tersebut untuk urusan pembelajaran dan kerja, komputer riba itu juga menjadi ruang peribadi beristirehat sambil menikmati kandungan hiburan.
“Spesifikasi komputer ini sangat baik dan selesa untuk digunakan bagi mereka yang gemar bermain permainan video atau perisian berat seperti suntingan gambar dan video.
“Selain gemar bermain permainan Genshin Impact, saya juga akan meluangkan masa menonton Netflix,” katanya menutup bicara.














