fbpx
Sharif Abu Hurairah (dua dari kanan) dan Mohammad Nashrul Alif dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Baling, hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan.

Dua anggota polis dituduh peras ugut lelaki RM200

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memeras ugut seorang lelaki, bulan lalu.

Tertuduh, Lans Koperal Sharif Abu Hurairah Abu Bakar, 24, dan Konstabel Mohammad Nashrul Alif Alahuddin, 28, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan pemerasan terhadap Zulqadiri Mohd. Sabri, 32, sehingga mendatangkan ketakutan dan mendorong mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM200.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Parit Panjang, Kampung Asam Jawa, dalam mukim Pulai, di sini pada pukul 7.38 malam, 19 September lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md. Salleh menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam, S. Shathishbhabu yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon jaminan pada kadar minimum.

Katanya, tertuduh pertama, Sharif Abu Hurairah masih bujang manakala Mohammad Nashrul Alif sudah berkahwin dan kedua-duanya berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan kepada setiap tertuduh sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan mereka membayar jaminan tersebut.

Kes akan disebut semula pada 27 November depan untuk serahan dokumen.

Kosmo! Online pada 22 September lalu melaporkan dua anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan terhadap seorang lelaki yang kemudian ditemui meninggal dunia di Kampung Asam Jawa, mukim Pulai, di sini.

Penahanan itu susulan laporan dibuat seorang wanita tempatan berusia 74 tahun yang mendakwa polis telah merampas telefon bimbit milik anaknya serta meminta wang RM200 untuk menebus semula telefon tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN