KUALA LUMPUR – Melangkah ke pentas tertinggi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bukan perjalanan mudah malah menuntut bakat, semangat dan paling penting, sokongan kewangan yang kukuh.
Hakikat itu disedari sepenuhnya oleh Pengarah Urusan Mitratech Asia, Mohd. Azuan Izadee Md. Nordin, yang kini tampil dengan misi peribadi mahu membantu pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli untuk menjejakkan kaki ke saingan penuh Moto3 dan seterusnya ke MotoGP.
Pelumba berusia 18 tahun itu bakal menggalas cabaran negara sebagai wildcard kelas Moto3 pada Grand Prix (GP) Malaysia 2025) di Litar Antarabangsa Sepang dari 24 hingga 26 Oktober ini, hasil kolaborasi antara sokongan korporat dan individu yang benar-benar percaya pada potensinya.
Azuan, 39, menegaskan bahawa komitmennya terhadap Hakim Danish bukan bersifat jangka pendek, sebaliknya satu pelaburan jangka panjang untuk masa depan sukan permotoran tanah air.
“Sejak Hakim muncul juara MiniGP, saya tahu dia berbeza daripada budak lain. Karakternya matang, fokus dan berdisiplin.
“Jadi, selagi mampu dari segi kewangan, dan selagi Hakim Danish serta ZK Racing terus menunjukkan peningkatan ke tahap seterusnya, Insya-Allah peluang untuk kerjasama berterusan sentiasa ada,” katanya.

Menurut Azuan, sokongan ini juga dilihat sebagai gabungan antara pelaburan jangka panjang untuk Hakim Danish dan ZK Racing, serta misi peribadi untuk menunjukkan bahawa syarikat yang tidak berkaitan secara langsung dengan sukan permotoran juga mampu memainkan peranan penting.
Menurutnya, kerjasama ini terjalin sejurus beliau mengetahui Hakim Danish mendapat slot wildcard, di mana dia tanpa berfikir panjang terus menghubungi ZK Racing untuk membincangkan peluang yang ada.
Dan baginya, ini adalah pencapaian peribadi dan juga untuk syarikat, membuktikan bahawa jenama tempatan mampu berdiri sebaris dalam menyokong wira negara.
Ketika ditanya mengenai impiannya untuk masa depan Hakim Danish dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, Azuan mengakui bukan mustahil untuk pelumba itu berada di pentas tertinggi.
“Untuk melihatnya di MotoGP adalah satu bonus. Buat masa ini, jika dia mampu menjadi pencabar utama dalam kelompok lima terbaik di Moto3 dan Moto2, itu sudah satu pencapaian yang membanggakan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE