HULU SELANGOR – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dihempap pokok tumbang di Jalan Batang Kali, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.14 petang.
“Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu dengan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba pada pukul 2.35 petang, pasukan mendapati sebatang pokok tumbang telah menghempap sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dan terdapat seorang mangsa lelaki di dalamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE