DI sebalik kabus pagi dan ‘deruan’ embun yang menyeliputi jalur laluan berbukit di Baling, Kedah, Syarifah Balqis Syed Hamzah masih bersemangat meneruskan larian bagi acara The Magnificent Baling 100 2025 (TMB100) 2025 baru-baru ini.
Biarpun tanpa latar belakang atlet profesional, namun wanita yang mesra disapa Balqis itu terus membina langkah demi langkah, sehingga mencatat prestasi cemerlang dalam arena trail running atau larian hutan.
Walaupun bukan kedudukan teratas keseluruhan, dia tetap membanggakan apabila berada di kedudukan kedua dalam kategori wanita untuk jarak 100km acara tersebut.
Berkongsi dengan CitaRasa, Balqis berkata, trail running bukan sekadar tentang berlari. Ia juga bak terapi minda buatnya yang seronok apabila dapat berada dekat dengan alam semula jadi.
“Bagi saya berlari ini adalah me time buat saya dan cara saya melupakan sebentar semua masalah,” katanya.
Berkongsi penyertaan dalam TMB100 2025, kata Balqis, ia sebenarnya merupakan penyertaan acara trail running 100km ketiganya untuk tahun ini.
Bagi Balqis, TMB100 melibatkan laluan berbukit yang disifatkannya sebagai laluan pantas atau fast trail kerana tidak bergunung-ganang.

“Pada awalnya, saya agak ragu-ragu untuk menyertai acara ini kerana tubuh saya belum cukup rehat. Ini kerana sebulan sebelum itu, saya menyertai satu acara 100km, tetapi gagal dihabiskan kerana saya tercedera.
“Namun sokongan rakan-rakan menyebabkan saya meneruskan acara ini.
“Selain itu, saya juga sukakan aktiviti trail running sebegini kerana semasa berlari, saya boleh berbual dengan pesaing lain, menjadikan larian itu tidak memenatkan atau buat saya stres,” katanya.
Acara trail running melibatkan laluan larian pelbagai bentuk muka bumi seperti sawah padi, kawasan hutan dan juga gua.
Ujar Balqis, sebagai seorang trail runner, dia amat bergantung kepada jam kecergasan bagi membantu melihat arah.
“Memandangkan saya melalui kawasan hutan pada waktu malam, maka saya amat bergantung kepada jam Garmin bagi memberikan saya petunjuk arah serta maklumat penting seperti altitud, jarak dan masa.

“Tanpa jam ini, sukar untuk saya menavigasi laluan yang gelap dan mencabar, terutama apabila berlari seorang diri,” katanya yang menggunakan jam Garmin model Fenix 8 dan menganggap jam tersebut sebagai ‘rakan seperjuangan’ dalam setiap perlumbaan trail.
Balqis menambah, ketahanan bateri jam yang mampu bertahan hingga 29 hari juga sesuatu yang cukup penting buatnya bagi membantu dia menamatkan larian tanpa perlu mengecas peranti tersebut dengan kerap.
Balqis turut menasihati wanita yang menceburi sukan lasak seperti trail running agar belajar membaca GPS dan memahami fungsi jam kecergasan mereka sepenuhnya.
“Bila kita berlari seorang diri di dalam hutan, keselamatan bergantung kepada diri sendiri. Jangan terlalu bergantung kepada orang lain untuk tunjuk arah atau bantu kita.
“Paling penting, tahu baca peta dan guna jam atau peranti GPS dengan betul ia boleh jadi penyelamat kalau tersesat.
“Selain itu, aspek keselamatan lain yang patut ada pada jam adalah boleh kongsi lokasi dengan orang lain, sebaik sahaja memulakan larian.
“Ini bagi saya cukup penting, khususnya buat wanita yang suka berlari solo,” ujarnya.














