fbpx
SEJUMLAH penunjuk perasaan anti-Trump di Portland, Oregon semalam. - Foto AFP

7 juta sertai tunjuk perasaan anti-Trump di seluruh AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Jutaan orang turun di jalanan di kesemua 50 negeri Amerika Syarikat (AS) semalam dalam siri protes “No Kings” bagi meluahkan kemarahan terhadap dasar keras Presiden Donald Trump.

Penganjur berkata, tujuh juta orang menyertai protes yang diadakan dari New York hingga Los Angeles, termasuk demonstrasi di bandar-bandar kecil di kawasan tengah Amerika dan juga berhampiran kediaman Trump di Florida.

“Inilah rupa demokrasi!” laung ribuan penunjuk perasaan di Washington, berhampiran Bangunan Capitol, ketika kerajaan persekutuan ditutup untuk minggu ketiga akibat kebuntuan politik di Kongres AS.

Pelbagai sepanduk berwarna-warni menyeru orang ramai untuk melindungi demokrasi, manakala yang lain menuntut supaya agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam yang menjadi tumpuan dasar anti-pendatang Trump dibubarkan.

Penunjuk perasaan mengecam taktik keras presiden daripada parti Republikan itu, termasuk serangan terhadap media, lawan politik dan pendatang tanpa izin.

“Saya tidak pernah menyangka akan hidup untuk menyaksikan kematian demokrasi di negara saya sendiri,” kata Colleen Hoffman, 69, seorang pesara yang menyertai perarakan di Broadway, New York.

“Kita sedang berada dalam krisis, kekejaman rejim ini, sifat autoritariannya. Saya rasa saya tak boleh hanya duduk di rumah dan berdiam diri,” ujarnya.

Di Los Angeles, penunjuk perasaan membawa belon gergasi menyerupai Trump yang memakai lampin bayi.

Ramai penunjuk perasaan mengibarkan bendera, termasuk ‘One Piece’ yang memaparkan logo tengkorak dan kini menjadi simbol protes anti-kerajaan di beberapa negara seperti Peru serta Madagascar.

Salah satu plakad di Houston tertulis ‘Lawan Kejahilan, bukan pendatang’, di mana hampir suku penduduknya terdiri daripada imigran, menurut Institut Dasar Migrasi.

Walaupun bertenaga, kebanyakan protes berlangsung secara aman.

Namun, di pusat bandar raya Los Angeles, polis melepaskan peluru yang tidak maut dan gas pemedih mata lewat malam semalam bagi menyuraikan kumpulan yang termasuk penunjuk perasaan, lapor akhbar Los Angeles Times.

Menurut Polis New York di platform X: “Selepas ribuan orang berkumpul untuk menyuarakan hak Perlembagaan Pindaan Pertama mereka secara aman pada awal hari, hampir seratus individu bergerak ke kawasan Aliso dan Alameda dengan menggunakan laser serta lampu berkelip.” – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN